 Antu Buku Aku bukan seorang sasterawan, aku juga tidak pernah belajar sastera.
Aku cuma seorang yang suka membaca, tepatnya aku Antu Buku. Ruangan ini dihadirkan sebagai pangkin berkongsi rasa.
Ya, Apa yang ku rasa
mengenai karya-karya yang ku baca, ku beli, ku miliki atau mungkin jua ku jumpa. Ia bukan ulasan akademik, bukan jua kritikan dari seorang ahli. Tegasnya coretan ini hanyalah menurut RASA ku.
Dan rasa ku juga ada pasang surutnya, mungkin kelmarin aku tidak punya selera lantas aku tiada rasa untuk membaca, tapi tiba-tiba hari ini aku merasa kehebatan tinta penulisnya. Lalu aku mula memujanya...
Mungkin jua rasa ku itu berbeza, dengan mu, atau dengan diriku sendiri. Mungkin hari ini ketika aku membaca aku terbawa dengan kesedihan ku, lalu aku hanyut dengan rasa sedih itu. Tapi mungkin diketika lain aku dapat merasa sisi lucu dan gembira sebuah cerita, lalu aku akan ketawa.
Seperti yang ku kata, ia hanyalah ruangan berkongsi rasa, luahkan lah rasa mu jua. Supaya aku dapat melihat atau menghayati dari sisi mu dan cuba merasa apa yang kau rasa
.
~~@~~ ~~~~~~~~~~tinggalkan jejak mu di sini ~~~~~~~~~~~~
|
 |
Monday, December 20, 2004
SEDETIK CINTA -Kreisya Reisya
|

|
Bill. Halaman: 384
Cetakan: 2004
Penerbit: Alaf 21 |
Sinopsis Sedetik Cinta
Benarkah cinta pertama tak semestinya cinta sejati? Hipotesis bagi Sophie; cinta juga tak semestinya bersatu. Dia redha menerima keputusan Keyrill. Demi prinsip dan agama, mereka harus berpisah. Namun bayangan lelaki bermata biru itu sering mengganggu. Kadangkala kerinduannya bagai tak tertanggung. Bertahun-tahun dia cuba memujuk hati yang luka.
Masa terus berlalu. Tanpa diduga, kasih Sophie berputik semula. Perhatian Haji Aikimi, pengurusnya yang berkarisma benar-benar menambat hatinya. Namun, sekali lagi perasaannya diuji. Sanggupkah dia menjadi orang kedua kerana lelaki itu sudah berpunya?
Ah, sukarnya membuat pilihan. Namun, dia tidak sanggup berkongsi kasih. Apatah lagi menjadi galang ganti sebagai penyambung zuriat seorang lelaki. Sophie tegar! Kisah ini harus dinoktah.
Kenangan datang dan pergi. Di saat lukanya mula sembuh, sesuatu yang tidak diduga berlaku! Lelaki itu muncul kembali. 'Terima kasih Keyrill kerana menghancurkan hati saya. Wanita itu sungguh bertuah...'
Sophie percaya, hidup ini ibarat gula-gula; masam, manis dan kadangkala masin. Dia tidak pernah berhenti berharap, biarpun ada kekosongan yang dirasa. Hatinya masih berdegil. Dia percaya, suatu hari nanti dia mampu membina bahagia bersama seorang lelaki yang entah di mana...
~~~~~~~~~~~~~~-----8~)<@
Sedetik Cinta memaparkan detik-detik cinta Sophie pada Keyrill dan Haji Akimi. Mungkin yang dirasakannya bersama Keyrill benar-benar cinta, tetapi bersama Haji akimi lebih kepada rasa kagum dan memuja... Membaca novel ini seperti membaca catatan perjalan Kreisya pula rasanya.
Maaf, aku memang bukan peminat Kreisya Risya, membaca novel ini rasanya seperti membaca karya-karyanya yang terdahulu, novel-novel yang ku kelaskan sebagai 'novel cinta remaja'. Itu rasa ku, rasa orang yang sudah semakin tua :o). Pun begitu ada teman-teman yang menyukainya, ya... mungkin kerana mereka masih muda
Rasaku: ιι1/2
Posted at 12/20/2004 11:46:04 am by antubuku
Permalink
Air Mata Kasih - Syamimi Aminollah
 |
Bil. halaman: 572
Cetakan: 2004
Penerbit: CESB
Harga:
|
Ain begitu merindui 'Abang Qimi'. Budak lelaki yang sering mengusik dan menarik ekor kudanya. Budak lelaki yang sering memujuk kala dia merajuk... menangis semula bila ketawa bertukar sengketa. Putaran masa... Ain membesar menjadi gadis manis; bersama usikan dan sendaan yang mendewasakan. Dihitung pada usia... Ain cuba membayangkan wajah 'Abang Qimi' yang tidak terjangkau dek bayangannya. Kacakkah? Atau seperti majikannya yang mahal dengan senyuman tetapi tampan. Dan rahsia hati disimpan kemas dalam diri... walau sesekali terdetik jua; ada persamaan yang sesekali melekakan. Selain nama... wajah itu bagai ada ceritanya... misteri tersembunyi. Antara Ain dan Haqimi. Dan benarlah...'Abang Qimi' adalah orang yang serupa. 'Abang Qimi' ialah majikannya... yang sering mengusik dan membulinya seperti zaman kanak-kanak mereka. Dan hati mengapa tiba-tiba bertukar rasa... bertukar bicara... diulit rindu yang entah bila munculnya? Namun 'Abang Qimi'nya hilang semula dibawa angin malam, tanpa pamitan ...menjadikan Ain insan kesepian.
~~~~~~~~~
Cinta pertama sering dianggap agung. Kerana rasa keagungan itu, Ain cuba mempertahankan cinta pertamanya bersama Hisyam walaupun sedar hatinya kian tawar. Sekian lama berkerja sebagai setiausaha Iman Haqimi menerbitkan rasa sayang, apa lagi bila Iman Haqimi berubah dari seorang yang garang kepada seorang yang sangat mengambil berat tentang dirinya. Bila kecurangan Hisyam menjadi sah di matanya, Iman Haqimi setia di sisinya. Tapi bila Iman Haqimi mencurahkan perasaannya, Ain tidak berani menyambutnya.
Novel yang tebal ini siap ku baca sehari dengan meloncat-loncat halaman dan paragraf di sana-sini. Cerita cinta yang mencuit hati, penuh dengan adegan 'sorong-tarik' perasaan di antara Qimi dan Ain. Cerita yang ceria ini diakhiri kedukaan.
Sesuai untuk bacaan ringan dan tidak membebankan tapi masih mampu mencuit emosi hiba.
Rasaku : ιιι
Posted at 12/20/2004 11:08:51 am by antubuku
Permalink
Wednesday, December 15, 2004
Hanya Kau Segalanya... - Jessy Mojuru
Halaman: 389 (termasuk glossari)
Penerbit: CESB
Cetakan: Pertama 2003
Harga: RM20.90
"Keindahannya menjadi santapan mata-mata durjana"
Mereka dipisahkan oleh permainan takdir. Diuji dengan pelbagai lilitan derita... cengkaman dan rakusnya insan-insan bernama manusia. Lalu tertunaikah impiannya untuk mengecapi nikmat kebahagiaan setelah dirinya dikatakan sial? Mampukah diratah kesialannya itu? Dan bermaknakah kejelitaan andai diri dikagumi namunn sukar untuk dimiliki?
"Saya tahu perempuan tu tak salah! Jika awak tak jumpa dengan Odu Rupilin... semua tu takkan terjadi. Bumin, Sumali, Odu Rupilin dan Seringkai takkan mati. Bahkan penduduk kampung takkan dilanda kebimbangan dan bertindah menyisikan perempuan itu"
Sundu, seorang gadis yang sangat jelita. Tapi malang bagaikan nama keduanya. Kerana disangka mati, bapanya menghanyutkannya di dalam 'jompong', ibu bapa angkatnya meninggal dunia ketika dia belasan tahun. Takdir menemukannya dengan Jilang yang obses padanya. Obsesinya memintal takdir yang buruk bagi mereka, bilamana seutas 'tanggol' perkahwinan yang dikalongkan ke leher isterinya Sundu rupanya mempunyai kuasa 'rogon tembaga' (syaitan) yang diharap dapat melindungi isterinya menjadi geruh pada mereka dan penduduk kampung.
Novel ini sarat dengan kuasa mistik. Pertama kali hanyut dalam pembacaan membuatkan bulu roma meremang, seram dan suspen.
Membaca novel ini kali kedua menghayati gaya penulisan Jessy Mojuru, kadang-kadang uslubnya serasa seperti membaca novel kanak-kanak, kadang-kadang ayat dan perkataannya terasa janggal. Tapi kejanggalan itu mungkin sengaja diciptakan, mungkin jua kerana ia bercampur dengan dialek suku kaum yang 'asing' pada minda pembaca. Bagaimanapun kejanggalan itu ada tarikannya, kejanggalan itu juga tidak dapat menjadi penghalang kepada penghayatan pembaca.
Bagiku ini adalah karya terbaik Jessy Mojuru yang pernah ku baca (sekalipun di kulit novel tertera 'DARIPADA PENULIS NOVEL 'BEST SELLER' BAHANG ASMARA aku tidak merasa bahangnya). Sebuah novel yang sangat menarik, terutama bagi yang meminati genre Mistik.... dan lain daripada Bahang Asmara
Rasaku: ****
Posted at 12/15/2004 8:09:23 pm by antubuku
Permalink
Sunday, December 12, 2004
Cinta Hari-Hari Rusuhan-Faisal Tehrani
"Kejujuran kadangkala menakutkan!"
"Cinta mu, cinta yang berrputtik dalam keadaan rusuh. Cinta hari-hari rusuhan tak upaya kau bawa kemana"
Hidup memang bukan mudah dan kerana payahnyalah kehidupan itu, aku dan engkau akan menjadi lebih berrmakna sebagai manusia... Kekaliruan yang berlaku dulu usah dikesali lagi... mengingatinya sekadar menambah rasa bersalah..
~~~~~@~~~~~~
Sebuah kisah cinta yang terjalin tatkala hari-hari sedang rusuh. Cinta seorang marhaen (Basri) dan seorang aristokrat (Tengku Validah) tidak kemana, berpuing-puing dek mainan takdir. Lantas cinta keduanya membuatkan merreka derita. Pertemuan dalam rusuhan 20 tahhun kemudian di antara Basri dan Basariah sekali lagi membenih cinta (setidak-tidaknya di pihak Basariah). Kepulangan Basariah ke pangkuan bonda atas perrmintaan arwah ayahandanya mengungkap dosa lama yang tak terampun....
~~~~~~~~~~~~~~
Telah lama ku teringin membaca karya Faisal Tehrani setelah beberapa Hamba Allah memuji-mujinya. Akhirnya novel setebal 288 hlaman ini ku tawan jua (walaupun memakan masa berhari-hari).
Ceritanya mengingatkan ku novel-novel yang selalu ku baca pada tahu 80an dulu, kisah politik, kisah perjuang marhaen, kisah pengliibatan mahasiswa dalam isu-isu ekonomi dan negara.
Walaupun berat dan lambat ku membaca tapi ku kira novel ini menarik juga, kisah-kisah cintanya terrselit dalam perristiwa-peristiwa rusuhan, jadi kena baca jugak lah.. Teori tentang cinta dipaparkan dari sudut-sudut berlainan
Rasa ku: ****
Posted at 12/12/2004 7:39:21 am by antubuku
Permalink
Friday, December 10, 2004
Mimpi kita serupa - Siti Hazneza Abdul Hamid
Tanpa sedar kita sebenarnya banyak persamaan. Kebetulan barangkali atau kita sememangnya serasi... Nyatanya Tuhan tetap tidak memberi kesempatan untuk kita sama-sama membuktikan. Ada rasa terkilan, dicubit rasa kecewa bila diri bukan pilihan hati. Namun ada jangkaan yang dapat dibaca. Yang Hasmira sememangnya mencintai Syafiq sejak dari dahulu lagi. Dan di sebalik wajah Syafiq yang selamba, Fawwaz tidak menduga abangnya turut meminati gadis yang sama. Lalu apa dayanya? Halangan bukan jalan terbaik bagi memisahkan mereka. mereka sudah cukup dewasa... Lalu Fawwaz membiarkan hati lelakinya basah dengan air mata... bertahun lamanya begitu. Tanpa Fawwaz tahu, Yang Hasmira turut derita kerana merinduinya. Derita kerana dilarang walau menyebut namanya, apatah lagi berbicara seperti waktu-waktu sebelumnya. Yang Hasmira duka kerana kehilangan seorang sahabat sebaik Fawwaz, biarpun kini mereka sekeluarga. Dan jodoh itu sememangnya urusan Tuhan... bila sampai masanya akan termeterai juga tanpa ada yang sedar kiranya Fawwaz dan Yang Hasmira telah lama bertemankan air mata ...
~~~~~~@~~~~~~~
Penantian ku tidak menghampakan setelah lama menunggu kemunculan novel kedua Siti Hazneza (selepas Cemburunya Seorang Perempuan). Pada ku buku ini sepatutnya diberi nama 'Cemburu Seorang Lelaki' . Seperti buku pertama MKS ini juga membawa cerita 'cemburu'. Kisah seorang suami (Syafiq) yang mencemburui saudara kembarnya (Fawwaz) sehingga isterinya (Yang Hasmira) merana dalam ketaatannya sebagai seorang Isteri Solehah.
Ceritanya kompleks, seperti kata penulis 'kita yang membuat ianya kompleks'. Tatkala prinsip Yang Hasmira yang membenci 'bohong' walaupun sekecil-kecil pembohongan membuatkan dia gagal menilik hatinya sendiri. Kerana 'bohong' Fawwaz dia melupakan nilai-nilai yang lebih tegar dalam diri Fawwaz dan memilih Syafiq sebagai teman hidupnya.
Keupayaan penulis ini menyelitkan dakwah melalui penulisannya betul-betul mengkagumkan ku. Mesej dakwah berlangsung tanpa terasa bahawa kita seolah-seolah membaca buku agama, tanpa nampak dipaksakan. Banyak yang dapat dijadikan panduan dalam hidup dan membawa kita untuk muhasabah diri dan menilik diri sendiri.
Sebuah buku yang sangat menarik dan mesti dibaca
Rasaku: *****
Posted at 12/10/2004 7:35:00 am by antubuku
Permalink
Thursday, December 09, 2004
Pelabuhan Kasih Lily Suriani
Sinopsis
Fatin Nabilah gadis sederhana yang jauh dari kehidupan sosial. Pelajaran adalah tunggak utama dalam hidupnya. Dia juga berpegang teguh pada prinsip; lelaki pertama yang keluar dengannya akan dipastikan menjadi suaminya.
Perkenalannya dengan Azril Adam, teman sekampus telah menerbitkan bibit-bibit cinta yang tidak diduga. Azril menjadi lelaki pertama yang berjaya mencuri hatinya. Kehadiran lelaki itu membuatkan hidupnya semakin ceria. Malah, dia redha menerima sikap panas baran Azril yang sering menyakiti hatinya atas prinsipnya bahawa lelaki itulah bakal teman hidupnya!
Perkahwinan yang dibina ibarat retak menanti belah. Tidak tahu di mana silap, Fatin sering menjadi mangsa cemuhan Azril. Akhirnya, Fatin terpaksa akur bahawa prinsipnya itu harus dicampak jauh. Azril ditinggalkan setelah menjadi saksi pernikahan kedua suaminya dengan Nadira. Fatin pergi bersama dua anaknya dengan hati yang terluka.
Cinta pertama memang indah. Tapi tidak bermakna cinta yang datang selepas itu, tidak sehebat cinta pertama. Kehadiran Fazil yang begitu setia, disambut baik oleh Fatin. Biarpun penantian itu satu penyeksaan, tapi jika yang diidamkan akhirnya menjadi nyata, dia rela menunggu biarpun beribu tahun.
Akhirnya, sauh kasih Fatin berlabuh jua. Kali ini di pelabuhan cinta Fazil. Semoga kesetiaan Fazil tetap utuh selamanya, biarpun badai sentiasa bergelora.
~~8~~<@ ~
Tulisan pertama Lily Suriani ini bagi ku cuma cerita biasa (bila telah beratus-ratus karya dibaca, tiada yang menjadi luar biasa). Bagaimanapun aku kagum dengan tulisannya seperti ini bukan karya pertamanya. Ada humor di sana-sini (ini yang membuatkan aku terus membaca). Buku ini siap ku baca dari muka 1 sampai ke akhirnya tanpa merasa bosan atau melompat laman.
Rasa ku: «««
Posted at 12/9/2004 12:45:36 am by antubuku
Permalink
|