 Antu Buku Aku bukan seorang sasterawan, aku juga tidak pernah belajar sastera.
Aku cuma seorang yang suka membaca, tepatnya aku Antu Buku. Ruangan ini dihadirkan sebagai pangkin berkongsi rasa.
Ya, Apa yang ku rasa
mengenai karya-karya yang ku baca, ku beli, ku miliki atau mungkin jua ku jumpa. Ia bukan ulasan akademik, bukan jua kritikan dari seorang ahli. Tegasnya coretan ini hanyalah menurut RASA ku.
Dan rasa ku juga ada pasang surutnya, mungkin kelmarin aku tidak punya selera lantas aku tiada rasa untuk membaca, tapi tiba-tiba hari ini aku merasa kehebatan tinta penulisnya. Lalu aku mula memujanya...
Mungkin jua rasa ku itu berbeza, dengan mu, atau dengan diriku sendiri. Mungkin hari ini ketika aku membaca aku terbawa dengan kesedihan ku, lalu aku hanyut dengan rasa sedih itu. Tapi mungkin diketika lain aku dapat merasa sisi lucu dan gembira sebuah cerita, lalu aku akan ketawa.
Seperti yang ku kata, ia hanyalah ruangan berkongsi rasa, luahkan lah rasa mu jua. Supaya aku dapat melihat atau menghayati dari sisi mu dan cuba merasa apa yang kau rasa
.
~~@~~ ~~~~~~~~~~tinggalkan jejak mu di sini ~~~~~~~~~~~~
|
 |
Monday, August 01, 2005
Meniti Senja
Rafizah Nordin

Mengejar bayangan cinta semalam, sesekali rebah menyembah, sesekali lelah mengalah... Berjejeh keringat membasah... menitis air mata terhiris. Alam melihat, laut menjadi saksi cinta ini tidak mati walau musim datang silih berganti dan kemarau kasih bagai merelakan pertemuan... penyatuan... basah kenangan silam... namun mengapa tiba-tiba cinta bagaikan hilang rasa... hilang kuasa?
Meniti Senja, memaparkan kisah kehidupan keluarga. Kisah penderitaan seorang isteri yang telah ditinggal suami tanpa jejak, tanpa pesan. Adakah itu 'tulah' kerana membelakangi ibu bapa semasa Sofia nekad berkahwin dengan Najib? Namun kelahiran cucu itu mampu mencairkan beku hati orang tua yang luka. Natasya, penyeri cinta Najib-Sofia, tapi telah lama masa berlalu... Najib masih ghaib. Haruskah Sofia mempertahankan kesetiaan, sedang ada kumbang yang sudi menjadi peneman?
Perkahwinan Datuk Azman telah lama sepi, rasa yang dipendam akhirnya dilepaskan. Tak sanggup melihat Sofia jatuh ke tangan orang lain.. tapi bagaimana dengan isterinya? mahukah mereka berkongsi rasa?
Iskandar, bagai terlupa bahagia yang meliputi dirinya. Melihat ruang terbentang untuk bersama wanita pujaan, dia sanggup mengaku bujang.
Yusof telah lama 'hilang' diri, bertemu cinta lama... haruskah ditinggalkan bahagian yang telah lama menjadi bahagianya? Dapatkah kasih itu menyatu?
Plot yang agak menarik ku rasa, mengandungi mesej-mesej tersendiri. Dengan ruangan dan hubungan yang amat akrab, berselerak akhirnya menyatu. Suatu paparan cinta yang cukup jujur padaku. Meniti Senja... pastinya merujuk kisah cinta Sofia yang semakin lanjut usia dalam setia menanti suaminya kembali, namun 'rindunya usai dimamah waktu' *
Rasaku: ***
* pinjam dari monolog Pungguk-Bulan - Noor Suraya
Posted at 8/1/2005 2:50:57 pm by antubuku
Permalink
Monday, July 25, 2005
Bahagia itu miliknya ~ Rozita Abd.Wahab
Bahagia Itu Miliknya
Rozita Abd Wahab
halaman:412
Cetakan: 2005
Penerbit:CESB

Andai inilah yang dinamakan cinta, dia pasrah. Kegagalan bercinta di alam remaja tidak bermakna ia tidak dapat disatukan lagi jika sudah tersurat memang itu jodohnya. Berkahwin dengan suami orang juga itu bukan impiannya. Namun dia akur pada ketentuan takdir. Peritnya menyandang gelaran janda, pedih lagi menanggung gelaran isteri kedua. Gelaran yang mengundang gerhana dalam hidupnya. Kerana dituduh sebagai perampas suami orang, kehidupan rumah tangganya dilitupi duka hingga hampir meragut nyawa...
~~~~~~
Janda muda dengan seorang anak, bukanlah impian hati setiap wanita. Tapi itulah takdir Nur Aina. Menutupi keresahan, melupakan kesepian dengan mengabdikan diri dengan tugas-tugas pejabat. Kadang-kadang dia terlupa peranannya sebagai seorang ibu, sementelah lagi Nur Akilah dijaga oleh neneknya.
Malang atau rahmat, peristiwa ditangkap basah dengan Ahmad Khairi, jejaka yang pernah menolak cintanya ketika dia berumur 16 tahun memaksanya untuk menerima suami orang itu sebagai suami. Namun dapatkah dia menolak kalau hatinya sendiri masih terselit cinta untuk Khairi. Ketandusan kasih seorang isteri membuatkan Khairi leka menganyam cinta dan rindu bersama Nur Aina. Tapi Amira juga masih punya hak sebagai isteri Khairi, wajarkah dia membiarkan Khairi berlalu begitu saja? Sedangkan Khairi adalah lelaki idamannya yang sanggup dimilikinya dengan apa jua cara... dan dengan apa jua cara dia perlu memastikan Khairi hak milik kekal untuknya sahaja.
Terus terang, cerita ini sudah klise. Cinta pertama berputik kembali dalam situasi yang amat runcing. Kisah orang bermadu. Bagaimanapun, Rozita mempunyai daya penarik yang membuatku teruja untuk terus membaca dan menikmatinya penulisannya.
Rasaku: ****
Posted at 7/25/2005 12:12:57 pm by antubuku
Permalink
Emilya Zulaikha ~ Ariff Affandy
Tajuk: Emilya Zulaikha
Penulis: Ariff Affandy
Halaman: 448
Cetakan: 2005
Terbitan: Alaf 21

Emilya Zulaikha garapan pertama Ariff Affandy membawa kisah tentang nilai kasih sayang dan kesetiaan dalam hubungan cinta antara lelaki dan wanita. Tragedi bermula apabila Asrul dan Emilya yang belajar di USM dipaksa memutuskan hubungan cinta mereka. Perbezaan agama, pangkat dan kedudukan keluarga menyebabkan Emilya meninggalkan Asrul tanpa sepatah kata.
Pemergian Emilya yang entah ke mana hampir menyebabkan lelaki itu gagal dalam pengajiannya. Namun, Asrul bangkit dan gagahkan semangatnya untuk belajar. Selepas patah hati, dia akur pada kehendak ibunya agar mengahwini Farida, adik angkat yang tinggal serumah dengannya sejak kecil. Tapi hubungan mereka tidak lebih sebagai adik dan abang. Farida sendiri menerima keadaan ini dan simpati dengan nasib Asrul
Setelah 10 tahun, Emilya muncul kembali di depan Asrul. Kenangan lama menggamit kembali ingatan Asrul. Hatinya teruja ingin mendekati wanita itu semula. Tapi bagi Emilya, Asrul sudah lama mati. Dia pulang untuk mencari anaknya yang telah diserahkan pada Jabatan Kebaajikan Masyarakat. Dan kebetulan pula, anak itu, Zulaikha adalah anak angkat Asrul dan Farida.
Emilya berkeras mahu menuntut anaknya semula. Asrul terkejut, tapi perkara ini harus dirahsiakan daripada Farida yang sedang menghidap sakit buah pinggang yang kronik. Jadi, siapa yang harus mengalah? Asrul atau Emilya? Sesungguhnya tragedi air mata tidak harus berulang lagi
Sebuah cerita yang menyayat hati, ku rasa. Dimulai dengan insiden yang melucukan, rasanya novel ini cukup bahannya, ada humor, menyentuh hati, mengundang sebak dan sebagainya. Sebelum melihat biodata penulis pun sudah terasa penulisnya seorang yang berpengalaman dalam bidang penulisan dan latar watak hero juga merupakan pengalaman hidup beliau. Semua teori penulisan sudah diaplikasi ke dalam novel, tapi entah mengapa seperti ada rasa yang kurang, padaku novel ini agak 'soporific', nyata aku terlelap di tengah-tengah pembacaanku. Ceritanya walaupun digarap dengan menarik dan mempunyai unsur 'suspen' namun 'predictable', mungkin kerana ia sebuah kisah cinta dan kisah cinta adalah sejarah yang sentiasa berulang-ulang.
Rasaku: ***½
Posted at 7/25/2005 11:46:39 am by antubuku
Permalink
Sunday, July 17, 2005
Cinta Jangan Kau Pergi
Norhayati Berahim
499 halaman
2005
NB Kara Sdn. Bhd
Fitnah itu membelengggunya namun dia tidak akan tewas!

Sungguh cantik papan di Jawa
Disulam dengan daun kencana
Sungguh enak fitnah dibawa
Diri menerima jiwa merana
Disulam dengan daun kencana
Papan di Jawa dibuat peti
Diri menerima jiwa merana
Sampai mati tetap diingati
Sedih dan kecewa tidak dapat menggambarkan perasaan Zulfa, gadis tomboy yang hidup tanpa kasih sayang ibubapa, bilamana orang yang sangat disayanginya menabur fitnah terhadap dirinya. Ibunya pergi sebelum sempat membesarkannya, ayahnya jauh merantau meninggalkannya dijaga ibu saudara yang suka memakaikannya dengan pakaian lelaki. Dituduh berzina dan lesbian membuatkan Zulfa melupakan cintanya pada Qosim, lelaki yang telah banyak menerima korban harta dan kasih sayang Zulfa. Lelaki yang sanggup membalas kemuliaan hati Zulfa dengan tuba.
Kasih sahabat mengubah diri Zulfa, dari seorang tomboy kepada seorang wanita sejati. Terdampar di Cameron Highland, bekerja dengan Datuk Lim yang kaya dan anaknya Pak Kuen yang telah lama menjadi sahabatnya dengan gaji yang teramat lumayan.
Pertemuan dengan Dr.Sufian, duda yang kehilangan isteri dan anak-anak dalam satu kemalangan, menyambung silaturrahim. Kehadiran Qosim di Cameron Highland menyenakkan rasa.
Bila keduanya meluahkan rasa, siapakah yang perlu dipilihnya, cinta pertama atau lelaki yang tidak pernah tahu masa silamnya? Pun fitnah itu tetap mengekor dan membelenggunya...
Melihat gaya bahasa NB, terasa ada pembaikan berbanding novel pertama yang diterrbitkannya sendiri.
Ceritanya tidak betumpu pada kisah percintaan Zulfa tapi lebih memfokus kepada kehidupannya dan perasaannya ketika dilanda fitnah, kisah perkahwinan Dr.Sufian dan keluarganya yang mata duitan, kisah kehidupan ayahnya yang jauh terpesong dari landasan Islam.
Gaya penulisannya sinis dan pedas seperti biasanya. Punya sentuhan humor dan jenaka dengan makna berlapis (daouble meaning).
Mungkin terbawa dengan rasanya yang sedih dilanda fitnah, rasaku gaya melankolik dan sedih menyentuh hati , begitu mengena. Satu pembaikan dari novel-novel nya yang stereotype sebelum ini. Segmen info tidak lagi terasa terpaksa dan tangkap muat tapi mengalir bersama cerita dan terasa ikhlas (kalau macam ni boleh lah kutuk dan fitnah selalu... oops). Pun begitu aku tidak teruja untuk cepat menghabiskannya, mungkin disebabkan mood aku yang semakin menurun kebelakangan ini
Rasaku: ***½
p/s: Aku sebenarnya masih tertarik untuk mengetahui laman-laman web yang menurut NB dibina khusus untuk mengutuk dan memfitnah beliau. Satu harapanku, semoga NB menerima segala kritikan dengan minda terbuka sebagai satu pembaikan bukan sebagai fitnah atau apa-apa yang mengguris sensitiviti beliau
Posted at 7/17/2005 10:19:44 pm by antubuku
Permalink
Thursday, July 14, 2005
Bukan Cinta Biasa - Lili Rozita
Bukan Cinta Biasa
Lili Rozita
739 halaman
2005
Ghoswriter

Ayu Farhanah, gadis yatim piatu berumur 19 tahun, bekerja sebagai pengasuh Yasmin Hannah dan menyambung pelajarannya pada sebelah malam. Tengku Ashraf Mukhriz (Tengku Muda) ayah Yasmin seorang duda dan baru saja melangsungkan pertunangan dengan Raja Rita.
Pertemuan yang tak dirancang di bilik tidur Yasmin telah membuahkan cinta pandang pertama di antara keduanya. Wajarkah Tengku Muda meluah rasa sedang dia telah berpunya? Patutkah Ayu menyambut rasa, bukan saja Tengku Muda tunangan orang tapi juga siapa lah dirinya berbanding dengan kerabat raja yang kaya itu.
Namun bila cinta sudah mengetuk, mampukah keduanya memendam rasa, bagaimana dengan Raja Rita, perempuan sombong yang sanggup berbuat apa saja untuk mempertahankan 'hak'nya. Bagaimana reaksi Yasmin dan Mak Ungku???
Sebuah cerita klasik antara dua darjat. Bukan cinta biasa yang biasa-biasa saja. Baik dari segi bahasa, penceritaan dan plot cerita. Aku hampir hilang pacuan untuk membaca (drive to read) ;-P, rasa yang tidak konsisten, terkadang ghairah untuk menghabiskan dan terkadang terasa bosan. Satu minggu 'on and off' di tanganku.
Bukan novel pertama Lili Rozita, tapi rasanya skill penulisannya masih mentah. Kadang-kadang aku terasa watak 30an Tengku Muda memang tak sesuai dengannya. Remaja kah umur 25 tahun. Rasaku seperti membaca novel remaja, entah apa yang 'best', mungkin bukan rasaku...
Posted at 7/14/2005 4:06:44 pm by antubuku
Permalink
Sunday, July 10, 2005
Bukan Cinta Biasa ~ Izzul Izzati
Bukan Cinta Biasa
Izzul Izzati
536 halaman
Kaki Novel Enterprise
.jpg)
Sifat Sabar dan beralah yang dimilki oleh Shahira membuatkan dia sering menjadi mangsa keadaan. Seboleh-bolehnya dia tidak mau menyakiti apa tah lagi mengecewakan insan yang mengharap. Namun Sebagai manusia biasa yang serba kekurangan dia tidak mampu memenuhi kehendak dan menjaga hati semua pihak dalam satu masa. Justeru itu lafaz cinta yang ditunggu oleh Anuar Sejak dibangku sekolah lagi hanya dihargai sebagai kawan baiknya. Baginya cita-cita dan impian hidup lebih utama. Namun beitu dia terpaksa akur dengan jodoh yang telah diaturkan keluarganya. Biarpun jauh di sudut hati dia sebenarnya memendamkan perasaan kecewa.
Pertemuan Shahira dengan Azlisyam di kampus terjadi dalam suasana yang tegang telah mewujudkan persengketaan di antara mereka. Sikap ego Azlisyam turut merubah sifat semulajadi dalam diri Shahira. Keadaan bertambah celaru setelah Shahira mengetahui Azlisyam adalah tunangnya. Tanpa sedar dalam diam mereka sebenarnya menyimpan perasaan cinta di antara satu sama lain. Ego dan kedegilan dalam diri masing-masing telah mengekang mereka untuk berterus terang biarpun rasa rindu ternyata sendat dihati. Akibat salah sangka keadaan bertambah parah tatkala Azlisyam dan Anuar pantang bersua dan meletakkan Shahira dalam situasi yang sukar. Antara sayangnya kepada seorang sahabat yang sentiasa setia bersama dengan cinta pertamanya yang belum tentu membuahkan bahagia lantaran tiada lafaz cinta yang terucap di antara dia dan Azlisyam. Anuar yang kecewa tetap setiap menanti meskipun disedari penantiannya tiada penghujung. Meskipun cinta Shahira bukan miliknya namun Anuar tidak berdaya membuang rasa rindu dan cinta yang sememangnya utuh di hati.
Takdir dan suratan Nya tiada siapa yang dapat menolak dan menghalang. Berjayakah Anuar merealisasikan impiannya setelah rumah tangga Shahira dan Azlisyam runtuh di saat bahagia mengunjung tiba? Bagaimana reaksi Azlisyam setelah mengetahui cinta Shahira sememang untuknya? Mampukah Azlisyam meraih kembali cintanya setelah Shahira membuat pilihan untuk tidak melukakan lagi hati Anuar yang setia menunggu cintanya?
Bukan cinta biasa dihidangkan dengan bahasa yang santai dan biasa-biasa. Ceritanya bergerak mengikut flow dari satu episode ke satu episode.
Cerita yang dipaparkan juga sudah biasa kita baca dalam novel-novel lain. Bagaimanapun plot ceritanya agak menarik dengan konflik cinta Anuar-Shahira, Azlisyam-Shahira dan Iskandar-Shahira. Klise bukan, seorang gadis diminati ramai jejaka, tanpa menyebut nama-nama lain yang turut menagih cintanya.
Gaya penulisan novel ini walaupun biasa tapi memancing rasa untuk terus membaca dan meneka penghujung cerita. Punya daya humor dan mampu memancing simpati.
Secara keseluruhan aku rasa aku menyukai novel ini dan menyukai watak Azlisyam dan Shahira yang diprojek dalam novel ini. Aku sebenarnya meramal dan lebih suka Shahira bersama Iskandar ;-). Namun ramalan ku itu tidak menjadi. Bagiku ini adalah satu contoh yang real, kerana cinta manusia akan jadi bodoh. Cuma aku agak pelik bila Shahira mengandung sebab pada bahagian awal dia dikatakan tidak boleh mengandung disebabkan kecederaan yang dialaminya semasa mengandung yang pertama. Adakah aku terlepas apa-apa info atau penulis yang terlepas pandang? Yang kedua aku rasa pelik bila untuk kali kedua Shahira menerima lelaki pilihan ibunya tanpa mengetahui siapa lelaki itu. once bitten twice shy sepatutnya
Rasaku : ***½
Nota: sekali lagi aku kecewa kerana buku ini hilang 20+/- mukasurat :(
Posted at 7/10/2005 12:13:09 pm by antubuku
Permalink
Tuesday, July 05, 2005
Trilogi cinta
Siti Jasmina Ibrahim
Hadiah Sastera 2001
Kumpulan Utusan
Pemenang Pertandingan Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2001
@>(-8--
dengan cinta, ikatan lestari meniti generasi.
Trilogi cinta kisah survival tiga generasi
menyatu dalam seni,
memaknakan peribadi dengan diri.
Umi Citra Cempaka, gadis yang senyumnya
diengggut duka. Keluarganya pecah: Ibunya dalam pengasingan
ayahnya sendirian, datuk dan neneknya sudah berpulangan.
Dengan cinta, dia kutip serpih duka dan
dengan seni, diikatnya menjadi jitu.
Oleh cinta, di tangan Cempaka seni begitu dinamis, praktis - menterjemah
olak duga, menyirna lara.
Cempaka satu nama klasik, penyambung darah seni ibu dan ayahnya. Menyertai kolej seni, adalah satu langkah berani, demi memanifestasi rasa dan diri yang mempusakai seni. Misteri dirinya tertutup sifatnya. Bagaikan senyum dan tawa tidak ada dalam kamus hidupnya. Dunianya muram, hatinya malap. di jiwanya cuma ada gerak tari, di hatinya cuma ada gema gurindam. Citanya satu, seni menjadi terapi.
Di antara novel yang telah lama menghuni rak bukuku, tulisan 'Hadiah Sastera' menghalang seleraku untuk membaca pada mulanya. Dengan harga $1 buku ini borong bersama novel-novel yang lain. Di kepalaku perkataan 'sastera' sinonim dengan tulisan yang berat, penuh falsafah dan sukar dimengerti. Nyata aku salah...
Membaca novel ini aku menempatkan diriku dalam diri Cempaka, seolah aku merasa gerak tarinya, gemalai lenggoknya. Satu penulisan yang berjiwa dan menyentuh rasa. Membacanya aku tenggelam dalam rasa, menikmati keindahan puisi dan gurindam menggaru hati untuk mengenal Iqbal, yang sentiasa disebut-sebut.
Rasaku: layak benar novel ini memenangi tempat pertama
Posted at 7/5/2005 11:27:35 pm by antubuku
Permalink
Aleya Sofea
Ayu Azura Mohamad
284 halaman
2004
Utusan
Hadirnya Aleya Sofea di menara gading itu turrut mewarnai rencah kehidupan warganya yang bergelar siswa dan siswi. Cinta dan airmata... tawa dan hiba... benci dan rindu... kesemuanya datang silih bergganti menyulami diri. Episod hidup yang begini menjadi kelaziman bagi mereka yang menjadi warga kampus dimana sahaja. Tika bergelut menimba ilmu segala yang menguji datang menghampiri. Walaupun ramai yang berjaya mengatasinya namun tidak ramai yang kecundang.
Bagi Aleya Sofea, amanat yang dipikulnya sebagai puteri harapan bangsa sentiasa disemat di sanubari. Ketabahan dan kekerasan hatinya dibajai dari hari ke hari. Dari situ dia mula mengenali hati budi insan yang dikenalinya. Namun ada sesuatu yang menguasai dirinya. Degil! kedegilan yang bersarang dijiwanya itu turut menggugat nasib dirinya. Antara hidup ataupun mati.
Telah lama buku ini tersadai di rakku, tapi rasa untuk membacanya baru tiba. Sebuah novel duka yang mengisahkan mengenai seorang siswi yang mengidap sakit tetapi tidak mengetahuinya sehinggalah penyakit itu semakin parah.
Rasaku penulisnya masih muda, gaya bahasa mentah sesuai untuk cerita kanak-kanak. Pun begitu masih punya daya penarik. Plot cerita yang sangat mudah, seorang gadis yang dicintai dua pemuda, akhirnya dia sedar, dia juga menyayangi pemuda kedua yang dianggap kawan biasa. Sesuai bacaan anak-anak yang baru meningkat remaja
Posted at 7/5/2005 1:20:13 am by antubuku
Permalink
Saat Cinta Bersemi
Damya Hanna
485 halaman
2005
Alaf 21

kisah gadis bernama Nur Dhuha yang masih berdendam terhadap seorang lelaki bernama Syamir. Mereka mengenali antara sama lain sejak kecil tetapi sentiasa tidak sependapat dan sering bergaduh.
Setelah sekian lama tidak bersemuka, kewujudan Syamir dalam hidup Nur Dhuha tidak pernah diimpikannya. Dendam kedua-duanya masih membara walaupun episod duka sudah berlalu bertahun lamanya.
Adakah wujudnya kasih, sayang dan cinta dalam diri masing-masing walaupun di bibir mereka mengatakan benci? Jika ya, adakah salah seorang daripada mereka menghulurkan kemaafan sedangkan mereka sangat ego dengan pendirian masing-masing?
Kematian kedua ibubapanya membuatkan hidupnya terdera di samping abangnya Badrul yang panas baran dan suka mendera. Nur Dhuha bekerja sebagai seorang pencuci di sebuah hotel. Tanpa diketahui rupanya hotel itu milik seteru lama yang tela lama tidak temui. Dendam yang masih membara dihati Syamir membuatkan dia bertekad untuk merobek maruah Dhuha. Rasa tertekan dan malu, Dhuha pergi membawa diri.
Kerakusan Badrul semakin menghancurkan hidupnya, Syamir tanpa diminta menjadi penyelamatnya. Namun Keegoan membuatkan mereka terpisah, Dhuha pergi membawa hati yang parah.. Pertemuan tak diduga menyatukan mereka, dendam dan cinta hanya terpisah oleh satu garis halus, tapi dapatkah mereka bersatu dengan segala konflik yang menghantui... adakah perpisahan ini satu akhiran pada episod cinta Dhuha-Syamir?
Posted at 7/5/2005 1:06:33 am by antubuku
Permalink
Sayang Tak Terucap
Norhayati Berahim
524 halaman
2005
alaf 21

Takdir menemukan semula Delilah dan aminudin setelah sekian lama terpisah. Alam yang dikatakan begitu luas rupa-rupanya kecil bagi kedua insan ini jika itu sudah ketentuan-Nya. Namun, dek terpukul dengan rasa sedih, kecewa dan rajuk berpanjangan. Delilah menolak kehadiran lelaki itu. Baginya sekali hati terrguris lukanya berparut lama.
Perasaannya sudah lama kering, jiwanya sudah lama kontang pada seseorang lelaki bernama ayah. apa maknanya ayah apabila lelaki itu cuma muncul ketika dia sudah berjaya. Di mana tanggung jawab lelaki itu ketika dia mengharungi saat getir bersama ibu, nenek dan datuknya yang buta.
Sekaya mana pun lelaki itu, masih tidak membuka pintu hatinya. Lelaki itu tidak sama pekerti dengan datuknya. Datuknya yang buta tapi tidak buta hatinya. Datuknya yang buta tapi tinggi nilai kasih sayangnya. Kasihnya tidak mungki terbahagi dua.
Pun begitu, mestikah dia membiarkan rasa benci itu terus membelenggu hidupnya? Apalah guna akal fkiran jika tidak digunakan sewajarnya. Perlahan-lahan dia mengerti rahsia kehidupan, menginsafi kelemahan dan kekurangan setiap insan. Malah jauh di sudut hati dia ingin sekali menikmati dakapan kasih seorang ayah dalam hidupnya.
Ayah... andai kemaafan ini ku beri, namun dapatkah ku berrikan setulus kasihku pada mu? Ya Allah... perkenankanlah doa hambaMu ini agar kebuntuan dan kekeliruan ini dapat dileraikan.
sekali lagi NB memaparkan kisah seorang wanita berusia 30an yang tegar dan berkarier. Dr.Delilah, seorang doktor gigi yang dibesarkan sendiri oleh mamanya seorang pengusaha produk kecantikan. Kegetiran hidup ditinggal ayah semasa dia masih dalam kandungan membentuk dia dan ibunya menjadi wanita tegar dan tabah. Hanya kasih sayang datuk dan neneknya yang menyulami pendewasaannya.
Kegetiran hidup dan ketandusan kasih seorang ayah menjadikannya membeci lelaki itu, sekalipun lelaki itu berpangkat dan berharta. Namun akhirnya kemaafan dihulur jua, dan selepas itu dengan mudahnya ayahnya sekali lagi meninggalkannya, kali ini dengan beban yang lebih berat yang harus digalasnya, perusahaan yang besar dan anak-anak lelaki yang keparat. Dan seperti biasanya, sebagai watak 'superwoman' Dr.Delilah berjaya mencapai misinya dengan teori analogi kerosakan gigi.
Novel ini lebih bertumpu kepada kisah hidup Delilah, kerjayanya sebagai doktor gigi, perasaannya sebagai seorang anak terhadap ayahnya dan rentetan kisah kehidupannya yang sukar. Rasaku inilah novel NB yang paling Islamik setakat ini ;-)
Nota: Sebenarnya novel ini secara peribadi membuka minda ku pada bayak perkara mengenai penulisan, bacalah kau mungkin akan mengerti
Posted at 7/5/2005 12:45:47 am by antubuku
Permalink
|