Aku bukan seorang sasterawan, aku juga tidak pernah belajar sastera.
Aku cuma seorang yang suka membaca, tepatnya aku Antu Buku. Ruangan ini dihadirkan sebagai pangkin berkongsi rasa.
Ya, Apa yang ku rasa mengenai karya-karya yang ku baca, ku beli, ku miliki atau mungkin jua ku jumpa. Ia bukan ulasan akademik, bukan jua kritikan dari seorang ahli. Tegasnya coretan ini hanyalah menurut RASA ku.
Dan rasa ku juga ada pasang surutnya, mungkin kelmarin aku tidak punya selera lantas aku tiada rasa untuk membaca, tapi tiba-tiba hari ini aku merasa kehebatan tinta penulisnya. Lalu aku mula memujanya...
Mungkin jua rasa ku itu berbeza, dengan mu, atau dengan diriku sendiri. Mungkin hari ini ketika aku membaca aku terbawa dengan kesedihan ku, lalu aku hanyut dengan rasa sedih itu. Tapi mungkin diketika lain aku dapat merasa sisi lucu dan gembira sebuah cerita, lalu aku akan ketawa.
Seperti yang ku kata, ia hanyalah ruangan berkongsi rasa, luahkan lah rasa mu jua. Supaya aku dapat melihat atau menghayati dari sisi mu dan cuba merasa apa yang kau rasa .
Selamilah kehidupan Danial Wolfgang dan Nur Atiqah di Stuttgart melalui gaya penceritaan Ruby Hazri yang tersendiri....
Stuttgart... di situ mereka ditemukan; pada saat putih salji yang jatuh menjadi saksi dan rasa yang bertunas tersimpan dalam-dalam. Benarkah daun-daun mapel masih belum berhenti berguguran? Masihkah ada waktu untuk mereka merasai hadirnya musim bunga? Sedangkan mereka masih jua menyendiri dan membawa jauh-jauh satu rasa itu. Duka lara tiba lebih dahulu sebelum segalanya terjadi. Mampukah badai meleraikan pautan hati yang seteguh gunung salju itu? Mungkinkah, kisah mereka bagaikan sungai-sungai yang pasti bersatu di muara?
Pertemuan Nur Atiqah dan Danial Wolfgang membuahkan cinta. Walau kehidupan mereka jauh berbeza. Nur Atiqah gadis melayu yang teguh dengan ciri-ciri kemelayuannya dan Danial, pemuda kacukan Jerman-Melayu yang telah jauh terpesong dari agama Islam yang dianutinya sejak dalam perut.
Danial, kenapa namanya yang tertulis dalam hati Nur Atiqah, dari sekian ramai lelaki-lelaki 'eligible' yang mengingininya. Wajah setampan Ashton Kutcher tapi perangai seperti 'hantu'. Bila cinta bersambut, kenapa pula mesti ada dugaan menyapa?
Ruby Hazri, satu nama baru dalam dunia penulisan novel (entah kasta yang mana ) Dari e-novel yang sentiasa ditunggu-tunggu "entry" saban hari pengunjung setianya. Aku mengaku tidak pernah membacanya, hanya melawat blognya selepas mengetahui bukunya akan diterbitkan. Aku mengaku aku menaruh ekspektasi yang berlebihan. Sebagai 'anak' sulung kelahiran Jemari Seni yang dibidani Noor Suraya penulis kegemaranku (yep, I am biased), aku menjangka sesuatu yang tak terjangkakan.
Awalannya agak perlahan, bahasa Ruby yang manis membuatkan 'rasa' bagai membaca novel Noor Suraya. Ya, gaya mereka memang berbeza, tapi rasaku begitulah. Di pertengahan novel ini menjadi makin menarik dan membuatkanku sayang untuk melepaskannya sebelum usai pembacaanku.
Sebuah kisah cinta yang diadun dalam warna Islam, memberi kesedaran dengan sehalusnya, nasihat yang berwibawa. Pembaca juga berpeluang mengenali negara Jerman dan mempelajari serba sedikit bahasanya.
Rasaku ia sebuah novel yang cukup rasa, satu karya yang mantap untuk buah tangan yang pertama. Aku tidak kecewa (namun aku masih juga mencari keistimewaan yang tak terjangkakan). Cuma aku masih tertanya, apakah Nur Atiqah sudah menemui surat cinta dari Danial untuknya??
Sudah lama aku ingin berkongsi rasaku mengenai buku yang telah memenangi anugerah sastera dan pengiktirafan dari sasterawan-sasterawan tempatan dan luar.Tapi aku seperti kaku, tidak tahu untuk bermula di mana.Untuk membacanya saja aku mengambil masa yang lama untuk memulakannya.Sebegitu hebat pandangan sasterawan, ahli agama dan pembaca terhadap buku ini membuatkan aku gerun.Berminggu-minggu buku ini dipinjamkan kepadaku, ku kembalikan tanpa membaca. Berminggu-minggu juga, buku yang kupesan ini sampai ke pangkuanku ku biarkan sepi.
Ayat-ayat Cinta melakar kisah seorang Fahri, pemuda dari Indonesia yang mengaji di Universiti Al-Azhar, Kaherah.Dia begitu gigih mengisi hidupnya dengan belajar menghafaz al-Quran Qiraah Sabah dengan seorang Syeikh tersohor di sana, di samping itu juga dia meneruskan pengajian pasca siswazah. Bagi membiayai kehidupannya dia menterjemah kitab-kitab.
Seorang pemuda yang sederhana tapi mempunyai keperibadian Muslim sejati, disenangi rakan-rakan dan tetangga dan dicintai gadis-gadis. Dia memang seorang 'pria idaman'.
Kisahnya dimulakan dalam cuaca panas menggelegak bumi Kaherah dan gadis tetangganya Maria. Seorang Qibti tapi digambarkan sebagai seorang gadis yang mulia dan hafal beberapa Surah Al-Quran. Perkenalan yang bermula di kereta api membuatkan mereka 'akrab', bukan saja dengannya, tapi juga dengan keluarga Maria.
Lakaran hidupnya dan kota Kaherah yang eksplisit membawa kita merasakan bagai hidup di sana. Nama-nama tempat dan perjalanan yang mendetail, suasana dan kebiasaan masyarakatnya, hatta si Joha yang begitu sinonim dengan masyarakat Mesir menjadi nadi penceritaan membuatkan kita dapat merasakan pahit getir dan suka duka kehidupannya.
Perkahwinannya dengan gadis kacukan Jerman, Turki dan Palestin adalah suatu rahmah. Seorang gadis kaya yang dapat meringankan bebannya dan sekaligus memberinya ruang untuk berkosentrasi dalam pengajiannya di peringkat master (Seperti kata guruku, Master di Al-Azhar menyamai 'mati') tapi bahagia tidak akan sempurna tapi ujian dan penderitaan. dan ujian yang hebat datang dalam bentuk fitnah. dia dituduh menghamili seorang gadis yang pernah dibantunya. Maria jirannya itu juga rupanya dalam diam mencintainya sehingga dia terlantar sakit dek karam dalam kesedihan. Bermulalah petaka demi petaka dalam hidupnya.
Sebuah karya yang sungguh indah, ilmu-ilmu agama di tata dengan manis sekali sehingga tidak terasa bagai membaca sebuah buku ilmiah. Peristiwa demi peristiwa digarap dengan begitu baik sekali sehingga saling berkait dan menambah daya tarikannya.
Rasaku tidak perlu lagi untuk ku memperkatakan kehebatannya, dimana-mana pun novel ini mendapat tempat teratas, sekalipun judul 'ayat-ayat cinta' itu tidak menggambarkan isinya. Cuma masih terdapat satu perkara yang mendongkol di hatiku (dan kerananya juga membantutkan hasratku untuk berkongsi rasa lebih awal). Sebagai sebuah buku yang menerima martabat 'novel Islami' dan 'novel Da'wah', dengan segala rujukan kitab kuning yang muktabar, kes perkahwinan Fahri dan Maria masih menggangguku. Bagaimana Fahri boleh mengahwini seorang Kafir Qibti walaupun atas alasan 'firasat' isterinya Maria adalah Islam. Bagaimana pula bapa Maria boleh menjadi wali menikahkan Maria.
Bagaimana sesuatu yang jelas haram boleh menjadi halal? bukankah dia sendiri berhujjah bahawa persoalan akidah bukanlah sesuatu yang dapat diteka-teka atau dimain-main. Mungkinkah ini satu lagi strategi da'wah penulis, mengajak kita berfikir dan membuka kitab Nikah untuk menghalusi ajaranNya? atau mengajak kita berdebat dan menjadikannya semakin hangat?
Dunia penulisan yang diterokai, merenyahkan perjalanan hidupnya. Terlalu banyak kejadian yang membebankan semangat untuk teruskan kerjaya.
Pun begitu, dunia percintaannya tidak mudah seperti diharapkan. Ibunya mahu melihat Adrianna berkahwin cepat, namun harapan dan impian tidak pernah terjadi seperti yang direncanakan. Walaupun sudah ada kriteria yang disusun rapi dalam hal memilih calon, malang baginya kerana sering terperangkap dalam bayangan yang dicipta.
Syafik merupakan cinta pertama, namun terputus buat seketika. Kini lelaki itu kembali mengetuk pintu hatinya. Sementara Razif pula, cinta kedua yang meninggalkan kesan perit dan sakit hinggakan hidupnya terumbang-ambing, kecewa, seterusnya menutup ruang-ruang di hati untuk bercinta lagi. Firas, pemuda yang berbeza karakter daripada kriteria yang ada. Dalam begitu, lelaki ini mampu mengganggu konsentrasinya. Akhir sekali, masih ada Eizlan yang muncul secara misteri, dan kini mula menghantui hidupnya!
Kau laksana bulan yang menyinari hidupku dan akulah punggukmu yang sanggup menanti sang bulan tersenyum di langit.
*****
Kau Laksana Bulan mengetengahkan kisah cinta Adrianna, seorang penulis thriller-romantic, dengan empat orang jejaka pujaan Malaya. Syafik, cinta pertama di alam persekolahan, Razif, lelaki romantis yang puitis tapi telah tiada lagi, Firas yang bermakna pemahaman yang tajam (setau aku Firas bererti kuda ahaks..), seorang peguam muda yang sering ditemuinya dalam komuter, dan Eizlan, peminat misteri yang romantis.
Kau Laksana Bulan memfokus kehidupan seorang penulis, segala resah gelisah, jerih payah, pahit manis seorang penulis ditumpahkan dalam novel ini, mewakili rasa hati penulisnya Aina Emir (mungkin?). Anekdot-anekdot dari novel yang ditulis Adrianna juga dimuatkan.Kisah hidup berjiran melatari konflik kehidupan cinta Adrianna.
Ya, kisah cintanya yang terlalu konflik, bila perkenalannya dengan Firas bermula, dia mula membayangkan Firas sebagai hero novel ketiganya, Syafik pula kembali menagih cintanya.Dalam masa yang sama kehadiran jejaka peminat misteri turut mewarnai kisah cintanya. Bila Firas tersinggung kerana Adrianna merahsiakan profesyennya, Eizlan menjadi tempat Adrianna bermain perasaan, kata-kata puitis Eizlan mampu mententeramkan jiwanya. Hatinya terbuka untuk menerima lamaran Syafik, tapi syafik pula yang bertangguh menjadikannya tawar hati.
Rasaku plot cerita Laksana Bulan memang menarik, ada unsur suspend, humor dan romantic, cuma luahan hati seorang penulis kadang-kadang mencacatkan mood (terasa ke aku?). Dengan melompat-lompat perenggan habis juga ku baca buku ini, bukanlah membosankan tahap gaban tapi tak ada grip, kira termasuk dalam kategori yang boleh letak.Bagaimanapun, jika anda fanatik Aina Emir, anda mungkin tak kecewa, bagiku Sesuci Cinta masih di tempat teratas.
Kerapuhan ikatan kekeluargaan serta sikap egoistik membantutkan cinta dan kecintaan. DURI menyajikan konflik pada hati yang membawa duka dan dendam. Sufi sanggup melakukan apa sahaja demi melunaskan dendamnya dan melihat insan itu tersungkur. Dia ditinggal kekasih, kehilangan sahabat, bertemu jodoh dengan lelaki yang menyintai adik kandungnya dan berhadapan pula dengan ibu mentua yang egoistik. Di hatinya tiada simpati dan tidak pernah berasa gentar. Berhadapan dengan ibu mentua bagaikan pertemuan buku dengan ruas sahaja. Hidupnya penuh kepura-puraan. Apabila peluang terhidang dan ruang terbuka, terlunaskah dendam yang membara? Mampukah elemen cinta Zhaf membendung sifat dendamnya? Mampukah cinta wujud di hati Sufi yang penuh duka dan dendam?
Duri memaparkan kisah hidup Sufi, gadis yang mengahwini tunang adiknya sendiri. Menjadi galang ganti buat adiknya yang melarikan diri 2 minggu sebelum perkahwinannya berlangsung demi mengejar cita-citanya.
Rupanya kerelaannya bersebab, ada 'duri' yang menyucuk hatinya, 'duri' yang membuat dia berdendam kepada keluarga Muzhaffar, suaminya. Perkahwinan plastik. Semuanya sudah terencana, namun dendam tidak pernah berbayar bahagia. Tegakah dia melukai hati adiknya? ataukah ada dendam juga pada adiknya yang menjadi kesayangan ayahnya itu?
Sudah lima buah novel Fauziah Ashari (termasuk "Cinta... tiada akhirnya" sambungan Ombak Rindu). Kesemuanya memaparkan pernikahan terpaksa, dan 3 daripada 4 cerita itu ada konflik dengan ibu mertua. Bayangkanlah kalau cerita sebegini akan terus menjadi 'trade mark' Fauziah Ashari?!
Rasaku, Duri mempunyai elemen novel cinta yang cukup rasa. Ada konflik, humor, romantik dan suspen. Rasa dendam yang terkawal tidak memberatkan pembacaan ku. Walaupun ringan, ia tidak membosankan dan mempunyai tarikan yang tersendiri.
Aku percaya suatu hari nanti ada bahagia yang menanti di hujung jalan. Kerana aku yakin, ada hikmah yang diciptakan di dalam sebuah perkahwinan. Walau aku tidak pernah tahu apakah hikmah di sebalik perkawinan kita ini. Kerana bahagia yang aku cari bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk mereka yang lebih mengerti. Lalu aku butakan mata dan pekakkan telinga... derita dihati simpan sendiri. Anggap saja hidup ini hanya satu pentas sandiwara Jadi, kenapa perlu terus bersedih? Kenapa perlu terus menangis tatkala melihat suami bermain kasih? Sabar... anak terbuang sepertiku harus sedar diri. Jangan tamak dengan apa yang telah diberi. Walau sebenarnya aku tidak ingin kecundang sekali lagi... aku ingin bahagia seperti mereka. Namun sampai bila aku harus dilukai begini... kerana perasaan tidak pernah ada alasan untuk terus merelakan...
Inilah harga sebuah kesabaran... mahlanya untuk aku nikmati, jerihnya untuk aku lalui. Dan kala sinar bahagia mencelah di balik awan... pelangi muncul mewarnai dua hati yang saling merindui.
Fiza seorang remaja yang dididik dengan sopan santun dan disiplin yang ketat mula melanggar peraturan rumahnya. Dia mengikut kawannya Rita, seorang gadis remaja yang berpakaian 'tomboy' tapi mempunyai teman lelaki. Dari Rita dia belajar menyusuri malam di kotaraya, melepak di disko, bercampur dengan mat motor yang berlumba haram, balik ke rumah dini hari. Dia semakin pandai menipu, namun kegiatan buruknya diketahui juga.
Hatinya mula berputik cinta pada lelaki dewasa, lelaki yang membawanya berpeleseran dengan motor besar. Lelaki yang sanggup menghadiahkan benda-benda berharga untuknya, sehingga mendatangkan kemarah kedua ibu bapanya. Lelaki yang sanggup putus tunang kerananya. Malangnya cinta mereka tidak direstui.
Dia mula memberontak, bila ibu bapanya memaksanya meninggalkan lelaki yang dicintainya, dia memberontak bila dia merasa ibu bapanya tidak memahami jiwanya. Dia semakin marah bila keputusan peperiksaannya yang cemerlang dipandang sepi... dan dia menjadi semakin liar.
Ayahnya yang menyayanginya jatuh sakit setelah dia meninggalkan rumah. Rupanya tulah mengekori langkahnya. Akhirnya dia kembali ke pangkuan keluarga, tapi pulangnya juga tidak membawa tuah. Ayahnya pergi menemui Ilahi. Bala datang bertimpa-timpa, dia mengandungkan anak Jimi, sedang Jimi dipenjarakan atas tuduhan mengedar dadah.
Kekasih kakaknya Erni melamarnya. Benarkah kasih Jefri suci, sanggup menerimanya yang telah ternoda? Karma kah atau ujian Tuhan kah yang mengekori nasibnya. Perkahwinan itu tidak pernah membahagiakannya. Kehadiran Rizal memberi kekuatan untuknya meneruskan kehidupan. Namun perjalanan hidupnya masih panjang... apakah kesudahan segala cubaan ini? Siapakah lelaki terakhir?
Mulanya aku tidak begitu teruja menatap buku yang besar dan tebal ini. Tamabahan dimulai dengan kisah remaja yang masih berpakaian seragam sekolah. Namun bila menyelak di bahagian tengah aku menjadi teruja untuk mengetahuinya.
Cerita yang komplikated dan sarat emosi (seperti biasanya gaya Sabariah Araur) tidak lah terlalu berat untuk dihadam. Kisah kenakalan remaja dalam menghadapi tekanan peperiksaan, suasana rumah yang menyenakkan, tersilap memilih kawan (?) akhirnya membuatkan Fiza hanyut dalam gelodak naluri remaja yang sentiasa inginkan kebebasan.
Sebagai pembaca, sekejap aku merasa geram dengan kedegilan Fiza, tapi aku tenggelam dalam diri Fiza, seolah-olah aku menjadi dirinya yang ingin dimengerti. Merasa kesakitannya, penderitaannya, menyelami keinginannya.
Sudah menjadi 'trade mark" Sabariah agaknya (tidak semua bukunya aku baca) melihatkan sisi manusia yang buruk pincang. Bagaikan ingin menyedarkan bahawa kita manusia tidak lepas dari kejelekan dan seburuk mana pun dosa yang telah dilakukan, manusia itu tetap juga manusia yang ada perasaan, ingin dihargai, dan dimengerti.
Buku ini menyingkap nilai-nilai persahabatan, kekeluargaan dan kasih sayang. Bahagian suku akhir tumpat dengan nilai-nilai keagamaan. Bagaimana Fiza belajar menjinakkan hatinya dengan mendekati Tuhan. Dari sudut penulisan ia adalah sesuatu yang sangat indah, tapi secara realiti (ataupun sepatutnya) seorang lelaki seperti Rizal sewajarnya membataskan dirinya dengan wanita ajnabi, apa lagi wanita itu telah bersuami (oops berceramah pula aku di sini)
Rasaku, ia sebuah novel yang cukup rasa, menghibakan dan mungkin juga menginsafkan terutama bagi ibu bapa dalam menghadapi anak-anak remaja yang semakin liar. Dengan kejutan-kejutan dalam perjalanan cerita membuatku jadi terkejut dengan ramalanku yang betul, dan anehnya aku seperti merasa cerita ini tidak habis di sini
Bagaimanapun rasaku buku ini terdapat beberapa typo yang mencacatkan rasa. Editor, please note!!
Di lembah yang penuh dosa dan noda ini, terhidang dendam kesumat yang disembunyikan dalam longgokan nikmat yang membahang. Antara kebenaran dan nafsu yang tidak pernah mengenal Tuhan, keseronokan digandar... dijunjung bersama keegoan yang membuta tuli. Rezekinya daripada lendir yang hanyir, di pesta dunia yang beriramakan nafsu yang meloyakan. Diiringi gendang dan tarian gila yang mengkhayalkan. Kuasa menjadikan mereka leka di dalam memburu kekayaan dan keseronokan dunia. Rangkaian-rangkaian haram dijalankan... dan lorong-lorong hitam menjadi pilihan. Ranjang menjadi santapan nafsu yang tidak tahu memilih halal dan haram. Kepuasan menjadi sasaran. Lalu kematian mengakhiri dendam... dan pembelaan ini terbayar juga akhirnya.
------
Itu blurb novel Bara, tapi itu cuma penerangan kandungan Buku II dalam novel yang mengandungi 3 buku (mungkin juga bahagian, maaf tak sempat nak semak semula fakta)
Novel ini mengisahkan kehidupan dua sahabat Doktor Hayati dan Jun Azuddin seorang model. Kisah yang diceritakan oleh Mak Munah, seorang peniaga yang pernah bekerja bersama Doktor Hayati. Ceritanya begitu detail, sampai dalam kain orang pun dia tau . Takutnya ada kawan macam Mak Munah ni (oops this is out of line)
Buku I - Zaharah (Zi) seorang doktor pakar bedah telah berkahwin dengan seorang Rosli Zain, kerani akaun. Dia begitu tertarik dengan watak Rosli yang 'cool' dan sentiasa tenang. Bagaimanapun, dia menghadapi konflik rendah diri kerana jawatan suaminya yang tidak sekufu dengannya. Bila kekasih lamanya Nordin, bertugas di hospital yang sama dia menjadi semakin dingin pada suaminya dan menjalin kembali cintanya yang terputus bersama Nordin.
Keputusannya untuk bercerai membuatkan Sahabat/rakannya Dr.Hayati marah, dan kemarahan itu menjadi dendam bila Zaharah mencabarnyan untuk 'mengambil' Rosli. Hayati menyahut cabaran itu dengan strateginya yang tersendiri.
Buku II - Jun, model, janda dan perempuan simpanan menerima panggilan telefon dari kawannya mengkhabarkan kakaknya Zalifah, seorang pejuang hak wanita yang memerangi pelacuran mati di tembak ketika sedang membuat ucapan terbuka. Pembunuhannya direncanakan oleh satu sindiket pelacuran yang amat digeruni.
Kematian Zalifah menyatukan Jun dan adiknya Kartina serta sahabat-sahabatnya untuk membalas dendam. Aki, teman lelaki Zalifah yang juga seorang selebriti pula mempunyai agenda yang berasingan. Rancangan Jun dan kawan-kawannya memerangkap diri mereka sendiri bila dendam mereka diakhiri dengan satu demi satu tragedi. Jun jatuh cinta dengan musuhnya sendiri, Tina lari balik ke kampungnya apabila dendamnya melibatkan jiwa orang-orang yang tidak berdosa.
Buku III - Sekali lagi pejuang hak wanita menerima yang sama seperti Zalifah, kematiannya menemukan Jun dengan Hayati. Kematian ini juga perlu pembalasan. Kali ini melibatkan seorang ahli politik. Jun perlu strategi baru untuk membalas dendam, strategi yang tidak melibatkan nyawa siapa-siapa. Berjayakah misi mereka ini?
Buku ini memang penuh Bara. Panas dan ganas. Patut dilabel 18SG. Tidak layak dibaca gadis-gadis pemalu, tetapi kalau isteri-isteri yang pemalu nak membacanya, silakan. Sekurang-kurangnya dapat juga memantau bahan bacaan anak-anak bawah umur. Bahagian terakhir pertama buku ini begitu menggelikan hati, rasa enjoy bila membaca strategi Hayati memikat Rosli.
Bahagian kedua memang panas dengan adegan-adegan yang tak ingin kita bayangkan bila membacanya (mungkin?) Adegan-adegan sex dan pembunuhan begitu celupar diungkapkan. Membaca buku ini membuatku berfikir, beginikah corak Islam "hadhari" atau mungkin juga perlu disebut "had hari" (berpegang pada agama pada hari-hari tertentu sahaja misalnya apabila dalam kesusahan). Beginikah cara orang melayu sekarang? rasanya apa yang dipaparkan dalam novel ini begitu asing pada pengetahuanku. Kalaulah buku ini tidak menyebut apa-apa tentang agama rasaku penghadamanku akan menjadi lebih baik kerana kepalaku tidak akan ambil pusing soal etika dan moral, dan pastinya aku akan membaca seolah-olah mebaca karya terjemahan.
Bagaimanapun, sebagai bahan bacaan ia adalah sebuah novel yang menarik dalam genrenya sendiri. Bagi peminat thriller buku ini untuk anda
Sebuah lagi karya Adi Alhadi yang mencuit hati, walaupun sudah lebih sepuluh tahun tapi bahasanya masih segar, gayanya tetap sama. Novel ini mengisahkan kehidupan dua orang suami makhluk amfibia (Mubarak dan Taufik), suami yang mempunyai ciri suami mithali ini rupanya ligat memburu cinta di luar.
"walaupun kita dah ada baju yang cantik, tapi aku rasa tak salah kalau kita beli baju lain. Kalaupun bukan untuk dipakai untuk selama-lamanya, tapi perlu juga untuk digantung dalam almari. Sesak-sesak boleh juga sarung ke badan"
"Isteri itu ibarat mahkota di kepala dan girlfriend yang kita cari, kita kutip tu pula ibarat batu permata yang gunanya untuk mengindahkan lagi mahkota itu, sekaligus menaikkan darjat kita sebagai raja" [Taufik]
"I sedar I lelaki tak baik. Seorang lelaki yang baik tak mungkin mahu berdua-duan dengan perempuan lain sedangkan dia telah beristeri. Tetapi kalau untuk menjadi lelaki yang baik, I terpaksa lupakan you, I lebih sanggup menjadi lelaki yang tak baik sampai bila-bila" [Mubarak]
'kalau ruas buluh akan ku hentak sampai pecah, kalau ruas tebu akan ku tumbuk kemudian ku telan' Dan akhirnya Mubarak benar-benar bertemu buku dengan ruas, dia jatuh tersungkur dalam permainan cintanya, memburu cinta Azie, gadis yang 'lain dari yang lain' itu betul-betul 'lain'.
- Aku terhibur membaca tulisan Adi Alhadi (dengan mengenepikan sentimen isteri), tulisannya membuatku tergelak dari awal hingga ke akhirnya. Cuma ku rasa, novel ini tidak sesuai dijadikan novel remaja, entahlah apa rasionalnya CESB membuat begitu. Bacalah, saja-saja nak 'enjoy' namun boleh juga jadi panduan pada isteri-isteri yang punya suami 'mithali' atau gadis-gadis yang sedang dalam dilema bercinta dengan suami orang
Dua tahun meringkuk dalam penjara atas kesalahan yang tidak dilakukannya, Harun kehilangan pekerjaan dan mata pencarian. Sebagai wartawan, apalah kepakaran yang dia ada kecuali menulis. Akhirnya dia terjebak dalam satu konspirasi menculik anak seorang jutawan terkenal.
Nina isterinya terpaksa mencari pekerjaan untuk menampung hidupnya semasa suaminya di penjara. Kepulangan suaminya tidak menjanjikan hidup yang lebih baik ditambah dengan keegoan Harun untuk menerima bantuan rakan mereka Musa seorang pegawai polis.
Bagaimana Harun melepaskan dirinya dari konspirasi yang akhirnya menjerat dirinya, dan Nina perlukah menjadi isteri yang taat bila mendapati mayat seorang wanita dalam 'boot' kereta suaminya?
________
Buku ini nipis saja, tapi masih mampu mengundang debar ketika membacanya. Kisah perisikan yang begitu sinonim dengan Abdul Rahim Awang. Bahasanya mudah, ceritanya juga mudah, cuma agak 'suspen' untuk mengetahui penamatnya. Bagi yang tidak menggemari novel cinta, mungkin ini pilihan anda.
Nota buat Kak Yah: Terimakasih atas hadiah yang berharga ini, semoga semangat antubuku kembali awu inda ku membalikkan lagi buku ani, ahak...
"ada kasih antara kita, namun yang kucari ialah cinta..."
Kelahirannya tidak dirancang, bahkan tidak diinginkan. Namun dia wujud dan mereka yang menyebabkannya lahir harus dicari untk dikenali. Lalu bisakah zuriat terrlarang ini diterima? Masih adakah lagi sayang dan perikemanusiaan? Adakah kasih yang sekian lama subur dijiwanya bakal dituai dengan cinta atau dicantas dengan racun yang berbisa?
Dia berdoa agar kelopak cinta yang gugur di genggaman kasih akan dibelai penuh manja. Namun akan terrtumpah ke manakah lagi kasih Anis yang semakin mekar? Mampukan Azhar menjadi tangkai berduri yang menjunjung mawar yang semakin layu?
Seharusnya pengajaran lalu mengajar Azhar erti berterus terang dan kecekalan Anis bisa menjadi cahaya buat penyuluh jalan ke tasik yang dibanjiri kasih sayang.
Cerita ini sambungan novel NA yang terdahulu 'Danur kasih' (Mohd. Adzam Khozin) dan 'Untuk Kau Dan Aku'. Satu idea yang menarik, menyambung 2 novel bercantum satu.
Anis Suziana (Danur Kasih) kembali ke Malaysia menjejak ibu kandungnya. Hasrat yang tidak dapat ditahan sesiapa, dengan cekal segala cabaran ditempuhi. Janjinya, pertunangan dengan Norman, lelaki pilihan Pak Cu yang menjaganya sejak dari umurnya 14 tahun, tidak akan terjadi selagi dia tidak menemui ibu bapa kandungnya.
Azhar (Untuk Kau Dan Aku) dilantik sebagai peguam mewakili firma Anis. Perkenalan yang membawa berbagai cerita. Walaupun di akhir cerita UKDA, Azhar telah melamar Miza, tapi dia masih 'single' lagi. Apa jadi pada Miza?
++++++++++++++++++++++++++++
Mula membacanya, rasa bosan sudah bertamu. NA kekal dengan gayanya yang deskriptif dan eksplisit membuatku rasa ia terlalu meleret. Nasib baik ayat-ayatnya bisa membuatku tergelak atau sekurang-kurangnya menyungging senyum. Induksi yang perlahan, membawa pembaca mengenal watak Anis Suziana dan Syareena. Disodor dengan emosi 'marah' pada awal-awal pembacaan juga membuatku jadi sebu, mengendurkan mood untuk meneruskan pembacaan.
Bagaimanapun rasaku ia membantu untuk memahami jalan cerita dengan lebih mudah, menanggapi persamaan 'rasa dan watak' Syareena (DK) dan juga Anis Suziana (KK) - gadis yang garang dan anti lelaki?! ditambah dengan flash back yang 'detail', tidak mungkin pembaca tidak memahaminya, meskipun bagi yang belum pernah membaca DK dan UKDA.
Ceritanya yang 'simple' apatah lagi bagi pembaca DK yang sudah mengetahui siapa ibu bapa kandung Anis, menjadi menarik dengan teknik imbasan dan 'cut and jump' serta kewujudan watak-watak lain menjadikan cerita ini menjadi kompleks. Pada tahap ini ku rasa NA semakin matang dan mantap dalam penulisannya.
Cuma, aku heran kenapa percintaan minah tukang pegang lampu (Farhana) mendapat lebih 'coverage', dan prolog itu memang tak ada kena mengena dengan watak utama. Dalam kes ini, rasaku seperti menonton telenovela yang kehabisan idea, lalu pengarah memasukkan watak-watak baru untuk menambah panjangkan cerita. Mungkin berguna untuk sambungan novel seterusnya? aku merasa kewujudan watak Farhana tidak sepatutnya mendapat perhatian yang lebih kecuali jika ia perlu untuk menghidupkan watak heroin (Anis). Sepatutnya hubungan Farhana-Anis yang diberi lebih perhatian dan pertalian keduanya begitu lambat dihuraikan. Walaupun aku dapat melihat keperluan kewujudan cerita Farhana-Amir, tapi aku tetap merasakan kemunculan watak ini tidak begitu licin dan menjadi gangguan pada 'flow' cerita ini.
selebihnya aku rasa novel ini memang menarik dan bila sampai ke 'hitting point' aku begitu teruja untuk menghabiskannya. Berbaloi untuk dimiliki (apatahlagi bagi yang memiliki DK dan UKDA), bagi yang tidak meminati sajak jangan risau, tidak ada yang perlu dilompat baca . Worth every cent spent (oops)
Nota: aku lebih senang dengan penamat UKDA, rasa tidak puas membacanya.
Kisahnya mengenai seorang ayah tunggal yang baru kematian isteri. Sukarnya menjaga anak yang asyik demam merindukan mamanya yang telah pergi. Kehadirannya di banglo warisan isterinya telah menemukannnya dengan Ireena, seorang gadis yang kematian tunang.
Perkenalan mereka diwarnai insiden-insiden pergaduhan, hanya Agi si kecil yang pemilih itu membuatkan mereka bersama. Masih teguhkah kesetiaan mereka pada cinta yang telah pergi? dapatkah mereka bersatu setelah berbagai insiden berlaku?
Jika anda peminat novel yang tipikal romantis dan mengharapkan 'ending' yang tak tersangkakan, novel ini memang untuk anda.